Sunday, August 12, 2007

Gajet Dari Google

Kalangan peminat setia gajet di seluruh dunia dikejutkan dengan tersebarnya gambar prototaip telefon bimbit yang dikatakan akan diperkenalkan oleh Google.
Serentak itu juga, pelbagai spekulasi mengenai gajet nipis berwarna putih dan berbentuk seperti telefon bimbit iPhone daripada Apple itu turut tersebar di hampir semua laman web berkaitan teknologi terkini.
Reaksinya, sudah pasti kebanyakannya menyambut baik kedatangan sebuah lagi gajet masa depan sama seperti terujanya peminat di seluruh dunia terhadap gajet iPhone yang mencetuskan fenomena awal bulan ini.
Namun keadaan kali ini sedikit berbeza kerana kebenaran gajet yang masih belum bernama itu juga masih menjadi tanda tanya memandangkan Google sehingga kini memilih untuk berdiam diri.
Gajet pertama Google itu dikhabarkan akan menawarkan perkhidmatan Internet percuma iaitu menerusi subsidi daripada pelbagai iklan yang dimuatkan di dalam aplikasinya.
Malah, gajet itu juga dicanang akan hadir dengan sebuah teknologi yang membolehkan pengguna melayari Internet jauh lebih baik daripada mana-mana gajet serupanya yang ditawarkan di pasaran ketika ini.
Desas-desus mengenai hasrat Google untuk mengeluarkan telefon bimbit sendiri itu sudah diperkatakan agak lama dan menghampiri kenyataan apabila mereka dilaporkan mengunjungi syarikat operator (telko) dan beberapa pengeluar telefon bimbit di Amerika Syarikat.
Ia semakin bertiup kencang apabila mereka menawarkan spektrum tanpa wayar dengan harga AS$4.6 juta kepada Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat pada Julai lalu.
Biarpun enggan memberikan sebarang komen mengenai pertemuan itu dan juga gambar prototaip yang sedang beredar di Internet kini, Google bagaimanapun tidak menafikan pasukannya sedang bekerja keras untuk mengembangkan aplikasi perisian mereka daripada Internet tradisional ke peralatan bergerak.
‘‘Kami memang ada berbincang dengan pengeluar telefon bimbit dan syarikat telko di seluruh dunia untuk membawakan Google Search dan Google Application menerusi telefon bimbit bagi kegunaan pengguna di mana-mana sahaja,” ujar seorang jurucakap Google, Michael Kirkland kepada InfoWorld ketika mengulas mengenai kebenaran gajet syarikatnya itu, baru-baru ini.
Biarpun rupa bentuk serta apakah teknologi sebenarnya yang akan digunakan oleh Google untuk dilengkapkan kepada gajetnya itu nanti masih jauh daripada bayangan, pendapat pro dan kontra mengenainya nampaknya lebih menarik untuk diperkatakan.
Di sebelah pihak pengguna teknologi misalnya, gajet pertama Google itu sekiranya menjadi kenyataan merupakan satu perkembangan baik lebih-lebih lagi membayangkan hakikat bahawa mereka tidak lagi memerlukan komputer riba untuk menikmati capaian Internet yang baik.
Namun, lain pula pada pandangan penganalisis industri tanpa wayar dan telekomunikasi yang melihat usaha Google itu mungkin turut membawa masalah terutamanya berkaitan pembahagian keuntungan iklan antara Google dan syarikat telko.
Malah, pengguna juga mungkin tidak akan menyukainya sekiranya mereka perlu mendengar dan melihat iklan penaja setiap kali mahu menggunakan gajet tersebut.
Biar apa pun kisah mengenainya, penantian kepada gajet itu pastinya mencatatkan satu lagi episod menarik buat industri telekomunikasi dan ramai yang menganggap Google tidak akan menyimpan ‘bayi pertama’ mereka tersebut dengan lebih lama.
Apatah lagi hasrat mereka itu pernah disangsikan oleh Presiden Microsoft, Bill Gates yang berasa tidak yakin gajet itu akan berjaya dalam persaingan perisian telefon bimbit seperti mana mereka yang menguasai segmen berkenaan ketika ini.