Sunday, August 12, 2007

Prinsip Reformasi Dalam Islam

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Dalam keghairahan untuk membina kembali tamadun Islam, wujud kecenderungan segelintir yang mempropagandakan idea revolusi seolah-olah segala sistem dan infrastruktur yang ada perlu dirombak dan diubah secara total. Bagi mereka, perubahan hakiki hanya wujud sekiranya kita benar-benar membina sebuah sistem baru dan menolak secara total segala idea dan amalan dari Barat atau Timur.
Hakikatnya Islam tidak pernah menganjurkan pendekatan sedemikian. Sebaliknya Islam merupakan agama yang cukup terbuka dan akomodatif terhadap amalan dan idea asing selagi tidak bertentangan dengan prinsip syarak. Sikap keterbukaan dan akomodatif Islam menerima khazanah ilmu dari tamadun asing merupakan salah satu ciri terpenting yang mendasari pembentukan tamadun Islam yang gemilang satu ketika.
Jika ditelusuri sejarah silam, kita akan dapati bagaimana para ilmuan dan sarjana Islam menekuni pelbagai khazanah keilmuan dari tamadun luar seperti Yunani dan Parsi. Tujuannya untuk memanfaatkan segala unsur positif dalam sesebuah tamadun sekali gus menyuntik roh Rabbaniyyah yang mampu meningkatkan kecemerlangan tamadun Islam.
Umpamanya, zaman keemasan tamadun Islam selama 150 tahun dari tahun 767 Masihi hinggalah ke 912 Masihi menyaksikan pelbagai jenis karya ilmiah Greek dalam bidang falsafah dan sains telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Nama-nama seperti Yahya Ibn Masawayh, al-Hajjaj bin Mattar, Yahya bin al-Bitriq, Hunayn b. Ishaq dan Ibn al-Muqaffa merupakan sebahagian cendekiawan terkemuka yang gigih menterjemah pelbagai karya ilmiah tamadun asing.
Peranan penterjemah-penterjemah ini bukan sekadar membawa limpahan khazanah baru ke dalam tradisi keilmuan Islam malah turut berperanan mempengaruhi perkembangan kemajuan pelbagai disiplin ilmu seperti falsafah dan sains di Barat. Prof. Seyyed Hossein Nasr dalam bukunya Islamic Life and Thought turut memperincikan pengaruh tradisi keilmuan Islam terhadap gerakan pencerahan atau Renaissance yang mengeluarkan Barat dari belenggu zaman gelapnya (Dark Ages) selama berkurun lamanya.
Sikap akomodatif sarjana dan ilmuan Islam lampau dalam menerima kemasukan khazanah ilmu asing ini sebenarnya bukanlah suatu yang asing dalam kerangka agama. Malah ia merupakan penerusan prinsip dan budaya yang diamalkan Rasulullah s.a.w. sendiri dalam upaya melakukan reformasi dan transformasi ke atas masyarakat Arab jahiliah hingga terbentuknya umat yang unggul dan terbilang.
Kedatangan Rasulullah yang membawa panji-panji Rabbaniyyah pada hakikatnya cukup terbuka dengan amalan-amalan tradisi yang tidak bertentangan dengan tuntunan wahyu Ilahi. Prinsip taghyir (merubah) dan takrir (memperakui) merupakan dua pendekatan yang digunakan dalam membangunkan generasi awal Islam. Sikap akomodatif ini terpancar dalam aspek-aspek berkaitan urusan pentadbiran hal-ehwal keduniaan dan muamalah manusiawi.
Sebagai contoh dalam bidang muamalah harian seperti aktiviti ekonomi dan jual beli yang diamalkan oleh masyarakat Arab jahiliah, Rasulullah tidak mengharamkan mahupun menutup terus pasar-pasar dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang dilakukan oleh penduduk Arab dan Yahudi.
Sebaliknya pendekatan yang diambil Rasulullah ialah menilai, meneliti seterusnya menyaring unsur-unsur yang dibenarkan al-Quran dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan menggunakan pendekatan taghyir dan takrir. Amalan yang baik dan bermanfaat diperakui untuk diteruskan, manakala yang buruk dan memudaratkan bukan sahaja diberhentikan malah disediakan alternatif. Sebagai contoh amalan riba yang menindas diharamkan, namun jual beli dibenarkan dengan beberapa pengubahsuaian yang mengambil kira prinsip dan etika Islam.
Pernah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dalam satu hadis bagaimana Nabi Muhammad ketika tiba ke Madinah, mendapati penduduknya mengamalkan aktiviti jual beli secara penempahan terhadap barangan pertanian seperti buah-buahan untuk tempoh setahun, dua tahun ataupun tiga tahun. Baginda lalu bersabda: Sesiapa yang mahu menempah sesuatu, maka hendaklah dilakukan terhadap sukatan yang termaklum, dan timbangan yang termaklum bagi tempoh yang juga termaklum.
Berdasarkan hadis inilah, perniagaan berbentuk akad tempahan barangan atau salam diharuskan syarak walaupun bertentangan dengan kaedah asal yang melarang jualan barangan yang tidak wujud pada tarikh kontrak diikat. Ini kerana, ia mempunyai kepentingan dari segi ekonomi, bagi memberi kelonggaran dan kemudahan dalam urus niaga.
Demikianlah satu contoh pendekatan Rasulullah yang tidak menolak secara total amalan jahiliah sebelum Islam. Pendekatan taghyir dan takrir digunakan bagi menyaring unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan prinsip dan falsafah Islam. Justeru dalam keghairahan kita untuk membina kembali kegemilangan tamadun Islam lampau, amat penting untuk kita kembali menelaah dan menghayati prinsip dan pendekatan perubahan yang dianjurkan Islam.