Tuesday, September 4, 2007

Menghayati Solat Tarawih



Ke Arah Menghayati Solat Tarawih
oleh
Hafiz Firdaus Abdullah

1. Solat Tarawih hukumnya sunat
2. Solat Tarawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian
3. Tidak ada ketetapan bagi jumlah rakaat solat Tarawih
4. Beberapa sifat solat yang diremehkan:
Tidak membaca al-Qur’an dengan tartil.
Meninggalkan bacaan Doa Iftitah dan bacaan al-Qur’an selepas al-Fatihah.
Mengabaikan Thama’ninah.
Bersolat dengan terburu-buru.
Meringkaskan bacaan selawat di dalam solat.
Tidak menjaga disiplin berjamaah
5. Berzikir di antara solat Tarawih

Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda: Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.[1]

Berdasarkan hadis ini, umat Islam sejak zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehinggalah ke hari ini tidak pernah melepaskan peluang untuk memanfaatkan malam-malam bulan Ramadhan dengan bersolat Tarawih, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Terdapat beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dibawa kepada perhatian para pembaca sekalian agar kita semua benar-benar dapat menghayati solat Tarawih dengan cara yang sebaik-baiknya selari dengan tuntuan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Pertama: Solat Tarawih hukumnya sunat.
Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh di atas menunjukkan bahawa solat Tarawih hukumnya tidak wajib. Para ilmuan Islam mengkategorikannya sebagai sunat mua’kad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Oleh itu bagi seseorang yang hendak mendirikan solat Tarawih, hendaklah dia perhatikan bahawa dia tidak mengabaikan amalan-amalan wajib atau amalan-amalan lain yang lebih besar manfaatnya. Dalam ertikata lain, hendaklah dia beramal berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat, iaitu memprioritikan sesuatu amalan yang bakal dilakukan.
Perlu digariskan bahawa ciri-ciri Muslim yang berjaya ialah seseorang yang mampu menimbang dan membezakan amalan manakah yang paling utama untuk dia beri perhatian pada satu masa tertentu. Prioriti amal perlu dibezakan seperti berikut:

1. Amal yang wajib hendaklah diberi prioriti di atas amal yang sunat.

2. Amal yang manfaatnya untuk jangka masa panjang hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk jangka masa pendek.

3. Amal yang manfaatnya untuk orang yang besar jumlahnya hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk orang yang kecil jumlahnya.

4. Amal yang manfaatnya untuk orang lain hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri.
Maka atas konsep Fiqh al-Awlawiyyat, jika seseorang itu terpaksa memilih antara menjaga ibubapa yang uzur dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menjaga ibubapanya. Jika seseorang terpaksa memilih antara menuntut ilmu dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menuntut ilmu.
Walaubagaimanapun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu melaksanakan solat Tarawih. Orang yang sedang menjaga ibubapanya yang uzur tetap boleh bersolat Tarawih dengan bersolat di sisi ibubapanya sambil memerhatikan mereka di antara solat. Seseorang yang sedang menuntut ilmu tetap boleh mendirikan solat Tarawihnya dalam rangka berehat sebentar di antara tempoh penuntutannya. Semua ini boleh dilakukan kerana solat Tarawih itu sendiri pada asalnya adalah satu amalan yang amat fleksibel. Hal ini akan dikupas dalam perbincangan seterusnya.

TOP

Kedua: Solat Tarawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian.
Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakan solat Tarawih, baginda adakalanya melaksanakannya secara berjamaah dan adakalanya secara bersendirian di rumah. Abu Dzar al-Ghafiri radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:

Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan. Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan) sehingga seperdua malam.

Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”[2]

Dalam hadis ini terdapat dua pengajaran penting:
1. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melaksanakan solat Tarawih berjamaah secara tetap sepanjang bulan Ramadhan. Akan tetapi baginda melaksanakannya secara bersendirian kecuali pada beberapa malam terakhir. Tujuannya adalah supaya umat dapat mengetahui bahawa solat Tarawih tidak semestinya berjamaah, akan tetapi boleh dilakukan sama ada secara berjamaah atau bersendirian.
2. Jika seseorang itu memiliki pilihan sama ada untuk melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah atau bersendirian, adalah lebih utama untuk dia melaksanakannya secara berjamaah berdasarkan sabda baginda yang bermaksud:
“Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”
Walaubagaimanapun pemilihan untuk melaksanaan solat Tarawih secara berjamaah hendaklah tetap ditimbang berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat sebagaimana yang telah disebut di atas.


TOP


Ketiga: Tidak ada ketetapan bagi jumlah rakaat solat Tarawih.

Jika dikaji semua riwayat berkenaan jumlah rakaat solat Tarawih yang dilaksanakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan generasi al-Salaf al-Shalih (generasi awal umat Islam) radhiallahu 'anhum selepas kewafatan baginda, dapat dirumuskan bahawa sebenarnya tidak ada ketetapan tertentu bagi jumlah rakaat solat Tarawih. Solat Tarawih termasuk dalam kategori solat sunat pada malam hari. Muhammad bin Nashr al-Mawarzi rahimahullah (294H) di dalam kitabnya Qiyam al-Ramadhan menyebut:
Aku bertanya kepada Ahmad bin Hanbal (rahimahullah 241H) tentang jumlah rakaat yang dia lakukan untuk solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih). Saat itu dia menjawab: “Dalam masalah ini ada kepelbagaian sehingga mencapai 40 macam. Ini kerana solat tersebut (Qiyam Ramadhan/Solat Tarawih) tidak lain hanyalah solat sunat biasa.[3]

Solat-solat sunat malam boleh dilaksanakan daripada selesai solat Isyak sehinggalah terbit fajar tanpa memiliki apa-apa batas minimum atau maksimum bagi jumlah rakaatnya. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan:

Seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, ketika itu baginda sedang berkhutbah. Lelaki itu bertanya: “Bagaimana cara solat malam?” Baginda menjawab: “Dua rakaat dua rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka tutupilah solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir.[4]

Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:
Sesungguhnya tentang solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih), Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) tidak menentukan jumlah rakaatnya, hanya sahaja baginda sendiri melaksanakannya tidak lebih daripada 13 rakaat sama ada dalam bulan Ramadhan atau selainnya. Ini baginda laksanakan dengan memanjangkan rakaatnya. Apabila ‘Umar (radhiallahu 'anh) mengumpulkan orang-orang untuk berjamaah (mengerjakan Solat Tarawih) dengan diimami oleh Ubay bin Ka’ab (radhiallahu 'anh), dia melaksanakannya bersama mereka sebanyak 20 rakaat kemudian diikuti solat Witir 3 rakaat. Ini beliau lakukan dengan meringankan bacaan al-Qur’an selari dengan kadar penambahan rakaat supaya ia meringankan berbanding solat satu rakaat dengan dipanjangkan bacaannya.
Setelah itu sekumpulan daripada generasi salaf melaksanakan solat (Tarawih) secara 40 rakaat dan solat Witir 3 rakaat manakala selainnya dengan 36 rakaat dan 3 rakaat Witir. Semua ini telah berlaku dan dengan itu, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadhan dengan apa sahaja jumlah rakaat, maka dia (dikira) telah berbuat kebaikan.
Yang utama adalah perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada beragamnya keadaan orang-orang yang mengerjakan solat tersebut. Jika keadaan mereka memungkinkan dilaksanakan solat (Tarawih) dengan lama, maka adalah lebih afdal melaksanakan solat (Tarawih) dengan 10 rakaat dan 3 Witir sebagaimana yang dilaksanakan sendiri oleh Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) dan selainnya. Akan tetapi apabila tidak mungkin melaksanakan sedemikian, maka melaksanakan solat (Tarawih) dengan 20 rakaat adalah lebih afdal dan itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah dipertengahan antara 10 rakaat dan 40 rakaat.
Dan jika dilaksanakan solat (Tarawih) dengan 40 rakaat atau selainnya maka itu diperbolehkan dan tidak dimakruhkan sama sekali. Hal ini ditegaskan oleh tidak seorang dari para imam seperti Imam Ahmad (bin Hanbal) dan selainnya. Dan sesiapa yang beranggapan bahawasanya solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih) mempunyai ketentuan jumlah rakaatnya daripada Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) tanpa boleh ditambah atau dikurangi daripadanya, maka sungguh dia telah membuat suatu kesilapan.[5]

Setelah menghimpun dan mensyarah semua hadis yang ada di dalam bab solat Tarawih, al-Syaukani rahimahullah (1252H) membuat rumusan:
Kesimpulannya, hadis-hadis di dalam bab ini (Solat Tarawih) menunjukkan kepada pensyari’atan melaksanakan solat pada malam bulan Ramadhan. Solat ini boleh dilaksanakan secara berjamaah atau sendirian. (Adapun) membatasi solat ini dengan nama “Solat Tarawih” dengan jumlah rakaat yang tertentu dan mengkhususkannya dengan bacaan-bacaan tertentu tidak pernah ditunjuki oleh sunnah.[6]


Daripada nukilan-nukilan di atas, dapat dirumuskan beberapa poin penting:
1. Solat Tarawih sebenarnya adalah solat sunat malam. Ia hanya berbeza dari sudut istilah, tidak dari sudut hakikatnya. Oleh itu jumlah rakaat bagi solat Tarawih tidak ada batasnya sebagaimana kebiasaan solat sunat malam.
2. Membiasakan gelaran “Solat Tarawih” menyebabkan sebahagian orang menganggapnya sebagai solat sunat yang khusus. Dengan itu mereka juga mengkhususkan rakaat yang tertentu dan bacaan surah-surah yang tertentu pada rakaat yang tertentu. Sebenarnya pengkhususan ini adalah tidak berasas.
3. Seseorang itu, berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat dirinya sendiri, boleh melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang sesuai dengan keadaannya. Masing-masing individu boleh melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang dicenderunginya tanpa ada pihak yang boleh mengatakan itu benar atau salah.

Diketahui bahawa ada sebahagian pihak yang berpendapat bahawa solat Tarawih adalah 8 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini adalah lemah sebagaimana yang dibuktikan oleh Ismail al-Anshari dalam bukunya yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih Isyrin Rakaah wa al-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh‘aifhi. Ia telah diterjemahkan dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih 20 Rakaat terbitan Pustaka Firdaus, Jakarta 2003. Selain itu diketahui juga bahawa ada pihak yang berpendapat solat Tarawih adalah 20 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini juga adalah lemah sebagaimana yang telah penulis bahas dalam buku Solat Tarawih: Satu Perbahasan Ke Atas Fatwa yang Menetapkannya Kepada 20 Rakaat terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2000.


TOP



Keempat: Beberapa sifat solat yang diremehkan.

Sebahagian orang apabila melaksanakan solat Tarawih atau mana-mana solat sunat yang lain, mereka meremehkan beberapa sifat solat atas alasan ini hanya solat sunat, bukan solat wajib. Sifat-sifat solat yang diremehkan ini ada yang merosakkan kesempurnaan solat dan ada yang membatalkan terus solat tersebut. Di antara sifat solat yang diremehkan adalah:

a) Tidak membaca al-Qur’an dengan tartil.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil [al-Muzammil 73:04]

Membaca al-Qur’an dengan tartil bererti membaca dengan jelas kalimah-kalimahnya sambil memerhatikan disiplin hukum-hukum tajwidnya.

b) Meninggalkan bacaan Doa Iftitah dan bacaan al-Qur’an selepas al-Fatihah.
Dengan anggapan ia hanyalah solat sunat, sebahagian orang ada yang tidak membaca Doa Iftitah sebelum membaca surah al-Fatihah. Sebahagian lain turut meninggalkan bacaan ayat-ayat al-Qur’an selepas membaca surah al-Fatihah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika mendirikan solat fardhu atau solat sunat tidak pernah meninggalkan kedua-dua bacaan ini. Oleh itu janganlah kita meremehkannya kerana ini termasuk sunnah-sunnah yang penting di dalam solat.


c) Mengabaikan Thama’ninah.
Mengabaikan thama’ninah, yakni kekal di dalam sesuatu pergerakan solat sehingga merasa tenang di dalamnya, bukan sahaja mengurangi kualiti solat tetapi boleh mengakibatkan terbatalnya. Abu Hurairah radhiallahu 'anh meriwayatkan bahawa pada satu ketika pernah seorang lelaki bersolat di dalam masjid sambil diperhatikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila lelaki itu selesai bersolat, baginda menyuruh dia bersolat semula dengan bersabda:

“Kembalilah bersolat kerana sesungguhnya kamu masih belum bersolat.” Hal ini berulang sebanyak 3 kali sehingga akhirnya lelaki itu mengakui bahawa dia tidak tahu bagaimana lagi untuk membetulkan solatnya. Lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar dia dengan bersabda:

Apabila kamu berdiri untuk solat, bertakbirlah, kemudian baca daripada al-Qur’an apa yang memudahkan bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah), kemudian berdirilah semula sehingga kamu tegak di dalamnya, kemudian bersujudlah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah), kemudian duduklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah) dan lakukanlah sedemikian bagi keseluruhan solat kamu.[7]


Penekanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk kekal di dalam setiap pergerakan solat sehingga merasa tenang (thama’ninah) menunjukkan bahawa itulah kesilapan yang dilakukan oleh lelaki tersebut sehingga menyebabkan solatnya tidak dikira sah oleh Rasulullah. Thama’ninah juga disyaratkan kita iktidal sebagaimana yang dijelaskan oleh Abu Humaid radhiallahu 'anh:

Apabila baginda mengangkat kepalanya (daripada rukuk), baginda berdiri sehingga setiap daripada kepingan tulang belakangnya berada di posisi yang asal.[8]

Ada yang berpendapat lamanya tempoh thama’ninah adalah sekadar seseorang membaca “Alhamdulillah” atau “Subhanallah”, akan tetapi pendapat ini tidak diperoleh dalilnya. Yang dicenderungi sebagai sesuatu yang mendekati kebenaran adalah bahawa thama’ninah itu wajib mengekalkan seseorang itu dalam satu posisi secara tenang sehingga dia dapat melengkapkan seluruh bacaan tasbih atau doanya. Ini kerana seseorang itu tidak dapat dikatakan telah rukuk atau iktidal atau sujud dengan dia dapat menyempurnakan bacaannya dalam posisi tersebut. Ibn Taimiyah berkata:
Tempoh thama’ninah dalam rukuk dan sujud adalah lebih kurang selama 3 kali bacaan tasbih. Sebab menurut sunnah, pada waktu rukuk dan sujud bacaan tasbih adalah 3 kali dan itu adalah yang paling minima, maka lamanya tempoh thama’ninah adalah sekurang-kurangnya (dilengkapkan ) 3 kali bacaan tasbih.[9]


d) Bersolat dengan terburu-buru.

Antara perbuatan yang tidak disukai dalam solat, sama ada solat wajib mahupun solat sunat, ialah terburu-buru dalam melaksanakannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. [al-Mu’minun 23:1-2]

Khusyuk di dalam solat bukan sekadar prihatin kepada bacaan-bacaannya tetapi juga kepada pergerakan-pergerakan solat sehingga dapat memelihara kesempurnaannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengingatkan:

Sempurnakanlah rukuk dan sujud kerana sesungguhnya perumpamaan orang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan sujudnya adalah seperti orang yang lapar, tidaklah dia makan kecuali satu atau dua biji kurma yang tidak mencukupkannya sama sekali (maksudnya – tidak mendapat apa-apa manfaat daripada solatnya).[10]


e) Meringkaskan bacaan selawat di dalam solat.

Ramai yang berpendapat selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam bacaan tasyahud hanya wajib sekadar “Allahumma sholli ‘ala Muhammad” manakala bacaan selebihnya sehingga “Fil ‘Alamina innaka hamidun majid” hanyalah sunat. Atas pendapat ini ada yang melaksanakan solat Tarawih dengan diringkaskan bacaan selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Sebenarnya tidak ada dalil yang menyatakan bahawa bacaan selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam solat boleh dibezakan antara yang wajib dan sunat, antara duduk tasyahud awal dan duduk tasyahud akhir. al-Shan‘ani rahimahullah (1186H) menegaskan:
Selawat bagi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam (di dalam solat) adalah tidak sempurna tanpa disertai selawat terhadap keluarga baginda. Orang yang bersolat hanya dianggap telah berselawat kepada Nabi apabila dia mengucapkan lafaz selawat secara lengkap sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di mana di dalamnya termasuk selawat kepada keluarga baginda. Hal ini berdasarkan (hadis di mana) sahabat bertanya: “Bagaimana kami mengucapkan selawat kepada kamu?” Lalu baginda menjawab dengan menjelaskan bahawa cara selawat adalah selawat ke atas dirinya dan ahli keluarganya.
Sesiapa yang tidak mengucapkan selawat bagi keluarga baginda (di dalam solat) maka bererti dia belum mengucapkan selawat yang sesuai dengan cara selawat yang diajarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, bererti dia belum melaksanakan perintah dengan sebenarnya. Oleh itu dia belum termasuk orang yang berselawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Begitu juga dengan lanjutan hadis mulai dari “Kama sholaita……” dan seterusnya, ia wajib dibaca kerana termasuk yang diperintahkan daripada bacaan selawat tersebut.
Sesiapa yang membezakan antara bacaan-bacaan selawat dengan mengatakan wajib sebahagian sahaja dan sunat sebahagian yang lain, maka itu adalah pendapat yang tidak memiliki dalil.[11]


f) Tidak menjaga disiplin berjamaah

Termasuk beberapa sifat solat yang diremehkan ialah tidak menjaga disiplin berjamaah apabila melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah. Antara disiplin yang lazim diremehkan ialah melurus dan merapatkan saf. Melurus dan merapatkan saf merupakan ciri kesempurnaan solat berjamaah manakala merenggangkan saf bererti membuka ruang bagi syaitan masuk di antaranya. Disiplin solat berjamaah yang lain yang perlu diperhatikan ialah mengikuti imam tanpa mendahuluinya atau ketinggalan daripadanya. Ketahuilah bahawa solat berjamaah adalah lambang kesatuan umat Islam. Apabila ahli-ahli jamaah tidak berdisiplin dalam menjaganya, ia memberi gambaran akan betapa lemahnya kesatuan umat.

Demikian beberapa sifat solat yang lazimnya diremehkan, di antaranya ada yang merosakkan kesempurnaan solat dan ada yang membatalkannya terus. Yang penting, hendaklah setiap individu Muslim yang melaksanakan solat peka bahawa dia sedang bermunajat kepada tuhannya, Allah 'Azza wa Jalla. Maka hendaklah dia memerhatikan adabnya apabila sedang bermunajat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegur seorang lelaki tentang solatnya:

Wahai fulan, apakah kamu tidak takutkan Allah? Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana kamu solat? Sesungguhnya apabila seseorang kamu melaksanakan solat sesungguhnya dia tidak lain berdiri bermunajat kepada tuhannya. Maka hendaklah dia memerhatikan bagaimana dia bermunajat (kepada-Nya).[12]


TOP



Kelima: Berzikir di antara solat Tarawih

Ini adalah antara amalan yang dipandang baik oleh orang ramai padahal Allah dan Rasul-Nya tidak pernah memandang baik untuk berzikir dengan bacaan atau cara tertentu apabila sedang berehat di antara solat Tarawih. Seandainya berzikir apabila sedang berehat di antara solat Tarawih adalah sesuatu yang baik, maka pasti Allah dan Rasul-Nya akan menganjurkannya sehingga dilaksanakan sepenuhnya oleh generasi awal umat Islam. Namun anjuran ini tidak pernah wujud dan perlaksanaannya juga tidak pernah diketahui, justeru siapakah kita untuk menentukan apa yang baik atau buruk di sisi Allah?

Waktu berehat di antara solat tarawih boleh dimanfaatkan untuk apa jua amalan yang baik. Akan tetapi tidak boleh mengkhususkan amalan tersebut seolah-olah ia adalah sebahagian daripada kaifiat solat Tarawih yang disyari‘atkan.

Sememangnya diketahui alasan yang diberikan adalah, berzikir adalah lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa langsung. Ia dianjurkan dalam suasana umat Islam masa kini yang dilanda kemalasan untuk berzikir. Sebenarnya ini adalah alasan yang biadap terhadap Allah dan Rasul-Nya, seolah-olah Allah dan Rasul-Nya leka daripada mensyari‘atkan apa yang baik kepada manusia. Yang benar agama Islam telah lengkap, yang tidak lengkap adalah ilmu dan pelaksanaannya oleh umat. Akibat jahil daripada apa yang sebenarnya disyari‘atkan, umat Islam mula mencipta apa yang baik di sisi teori mereka, seolah-olah agama ini adalah milik mereka untuk diubah suai dan ditokok tambah.

Nasihat penulis kepada para pembaca sekalian, tinggalkanlah sunnah kebiasaan masyarakat dan kembalilah kepada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Peganglah ia dengan teguh dan beramallah dengannya kerana ia dijamin oleh Allah sebagai sesuatu yang benar-benar baik. Berpegang kepada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah beramal dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah dan tidak beramal dengan apa yang tidak diamalkan oleh Rasulullah.