Tuesday, July 31, 2007

Hiburan Dan Muzik Menurut Pandangan Islam

TAKRIF HIBURAN (AL-LAHWU)

Al-Lahwu (hiburan) ialah semua perkara yang melekakan manusia daripada pelbagai gangguan, pemikiran dan masalah yang mengganggu tidurnya. Ia juga tidak mempunyai hakikat yang sabit seperti bermain, berjenaka, bersembang malam, menyanyi dan sebagainya.


JENIS-JENIS HIBURAN

Ada diantara hiburan yang tidak mendatangkan sebarang kebaikan dan keburukan. Ia sekadar melupakan manusia seketika daripada memikirkan perkara yang serius atau isu-isu besar.

Terdapat juga hiburan yang memberikan kesan yang buruk kepada manusia seperti menyemai sifat suka membuang masa dan mengabaikan tanggungjawab hidup.

Ada juga hiburan yang memberikan kesan yang baik seperti sifat suka melakukan kerja-kerja kebajikan dan melatih manusia berhadapn dengan kesukaran.

HUKUM SETIAP JENIS HIBURAN TERSEBUT

Jenis pertama : Hiburan yang tidak memberikan sebarang kesan, sama ada kesan baik mahupun buruk kepada manusia. Hukumnya adalah makruh. Contohnya, berada dalam majlis yang penuh dengan gurauan dan jenaka yang tidak berfaedah. Perbuatan ini dianggap membuang masa tanpa memberikan sebarang faedah.

Jenis kedua: Hiburan yang membawa keburukan kepada individu dan masyarakat. Hukumnya adalah haram dan tidak boleh diamalkan. Contohnya sama seperti hiburan yang pertama tadi, tetapi pelakunya keterlaluan berhibur hingga mengabaikan tanggungjawabnya, seperti mengabaikan solat, bekerja mencari rezeki, atau menanam nilai yang tidak baik seperti berbohong dan mengabaikanaspek akhlak dalam pergaulan dengan orang lain.

Begitu juga dengan majlis nyanyian yang disertakan dengan dendangan alat muzik yang diharamkan atau disertai oleh wanita dan pelayan.

Jenis ketiga: Hiburan yang membawa kebaikan kepada individu dan masyarakat. Hiburan jenis ini dibenarkan. Malah amalan ini mungkin digalakkan bergantung sejauh mana faedah yang diperoleh.

Contohnya hiburan yang telah disebutkan sebelum ini seperti perlumbaan, pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan dan lain-lain. Iaitu apa sahaja hiburan yang boleh diterima oleh rasional manusia.








PELAKSANAAN HUKUM INI KEPADA PELBAGAI HIBURAN YANG LAIN

Permainan yang tidak memerlukan banyak pergerakan dan dimainkan secara meluas dikalangan masyarakat seperti catur, dam, terup dan sebagainya.

i. Setiap permainan yang bergantung kepada kemahiran berfikir dan pengamatan adalah dibenarkan. Persoalan halal atau makruh permainan ini bergantung kepada sejauh mana ia menyebabkan kelekaan pemain.

Contohnya permainan catur. Ia suatu permainan yang banyak bergantung kepada penggunaan akal dan fikiran. Ia menunjukkan kesan yang baik. Sekiranya ia menyebabkan pemain leka dan mengambil masa yang lama, hukumnya menjadi makruh.

ii. Setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membatutkan akal fikiran seperti permainan dadu, terup dan sebagainya adalah haram. Hal ini menyebabkan pemain membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalm setiap perkara. Permainan jenis ini memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia.

Berhibur dengan haiwan seperti menyabung ayam atau lembu. Ulama’ sependapat menyatakan bahawa hukumnya haram, kerana ia meninggalkan pelbagai kesan buruk ke atas kehidupan haiwan dan manusia.

Pertarungan. Ia membabitkan beberapa jenis pertarungan:

i. Apa sahaja pertarungan yang tidak membahayakan tubuh badan, boleh melatih manusia menjadi kuat dan mahir menggunakan senjata serta mempertahankan diri adalah dibenarkan. Malah mengikut keadaan tertentu, ia digalakkan.

ii. Apa sahaja pertarungan yang membayahakan tubuh badan seperti melukakan, mematahkan tulang atau menghilangkan keupayan adalah haram. Contohnya, gusti, tinju dan sebagainya. Namun dikecualikan dengan kaedah tertentu yang boleh menjamin tidak berlaku kecelakaan kepada kedua-dua pihak.













HIBURAN YANG MEMBABITKAN PERTARUHAN

Semua permainan atau hiburan yang dinyatakan di atas tadi adalah tidak dibenarkan jika ia membabitkan wang, sama ada oleh satu pihak, kedua-dua pihak atau pihak ketiga. Setiap permainan yang membabitkan wang dianggap sebagai judi yang diharamkan.

Wujud satu pendapat di kalangan ulama’ Mazhab asy-Syafi’i yang membenarkan pembabitan wang dalam pertarungan yang diharuskan. Berdasarkan pendapat ini, pertarungan ini mengikut hukum pertandingan lumba dan memanah.

Menurut pendapat yang sahih dalam mazhab, pertaruhan wang tidak dibenarkan dalam semua jenis permainan dan hiburan yang di haruskan, sekalipun pertarungan, kecuali pertandingan lumba (musabaqah) dan memanah.





































GARIS PANDUAN MENDENGAR LAGU DAN MUZIK

Para-para ulama berbeza-beza pendapat berhubung dengan hukum dan persoalan yang berkaitan dengan seni lagu dan muzik. Ada yang mengharamkan semua jenis lagu dan muzik dengan bersandarkan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Golongan ini menyifatkan muzik dan nyanyian adalah ‘seruling syaitan’, himpunan perkataan yang sia-sia, serta penghalang ibadah. Bahkan ada antara mereka sanggup mematikan peti televisyen semata-mata untuk menghindari muzik montaj warta berita.

Golongan kedua pula beranggapan lagu dan muzik adalah harus dan dibolehkan selagimana tidak melampaui batas-batas syarak. Mereka mrnyifatkan instrumen muzik yang baik tidak lebih seperti kemerduan suara burung, bahkan ia antara dunia yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. kepada hambanya.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam banyak karyanya telah menganalisis dan menghuraikan banyak dalil-dalil naqli dan ‘aqli serta pandangan ulama berhubung isu ini. Secara umumnya, beliau telah membuktikan mengenai hukum seni lagu dan muzik yang pada asalnya bersifat harus tetapi telah berubah kepada hukum-hukum lain berdasarkan beberapa batasan dan kriteria yang perlu diambilkira iaitu:


1. LIRIK LAGU TIDAK BERTENTANGAN DENGAN AKIDAH DAN AKHLAK
ISLAM.

Tidak semua lagu dibolehkan menurut syariat Islam. Lagu yang di bolehkan adalah lagu yang liriknya tidak menyalahi akidah dan akhlak Islam. Lirik lagu yang mengajak kepada kemungkaran, memesongkan akidah dan melalaikan adalah haram. Contoh lirik lagu yang mendorong kemungkaran seperti didendangkan oleh Abu Nawas.

“Tinggalkan celaanmu padaku, sebab celaan itu adalah pujian;
Ubatilah aku dengan si cantik sang penawar”.

Lagu yang memuji penaniayaan, celaan dan penghinaan ke atas umat Islam juga adalah dilarang sama sekali. Selain itu lagu-lagu yang mendorong putus asa, mematahkan semangat dan melalaikan turut terkeluar dari prinsip-prinsip kesenian Islam.















2. GAYA PERSEMBAHAN.

Cara dan gaya persembahan sangat berperanan dalam menentukan status hukum lagu itu sendiri. Kadangkala tema lagu itu tidak bermasalah namun gaya persembahan penyanyi sama ada lelaki atau wanita boleh mengundang fitnah dan kejahatan. Maka hukum nyanyian tersebut berubah dari harus kepada haram, syubhah ataupun makruh.

Sebagai contoh persembahan lagu oleh para penyanyi di televisyen, konsert dan karnival bayak mempamerkan aksi-aksi erotik dan mengundang fitnah. Pakaian yang tidak menutup aurat bahkan menjolok mata serta solekan yang melampau kadangkala menjijikkan adalah bersalahan dari prinsip-prinsip Islam.

3. TIADA UNSUR-UNSUR HARAM

Antara perkara-perkara yang perlu diawasi ketika mendengar lagu ialah; hendaklah majlis itu tidak disertai dengan unsur-unsur haram seperti minuman keras, muzik yang membangkitkan nafsu, serta diiringi oleh para penari yang seksi. Suasana di tempat penonton juga perlu diambil kira. Percampuran antara lelaki dan wanita (khilat) adalah dilarang sama sekali bahkan ia bakal mengundang pencabulan dan eksploitasi wanita.

Mendengar lagu dan muzik di rumah walaupun jauh dari suasana kelab malam, kafe, konsert dan seumpamanya, namun ia masih termasuk dalam lingkungan mendokong propaganda kemunkaran jika tidak dibatasi dengan keimanan.

4. TIDAK MELAMPAUI BATAS ATAU BERLEBIH-LEBIHAN.

Setiap perkara yang dibenarkan syarak hendaklah dilakukan secara sederhana. Perbuatan yang melampau-lampau dan berlebih-lebihan adalah dilarang oleh Islam. Sabda Rasulullah S.A.W.:
“Makanlah dan minumlah, berpakaianlah dan bersedekahlah kamu sekalian
dengan tidak berlebihan dan sombong”.

Islam mengharamkan sikap berlebih-lebihan dan keterlaluan dalam semua perkara walaupun berkaitan dengan ibadat. Apatah lagi keterlaluan di dalam bidang hiburan sekalipun ianya harus.

Dalam kehidupan ini, keseimbangan antara akal dan perasaan perlu diselaraskan. Keseimbangan antara perasaan manusia secara keseluruhan, seperti cinta, benci, cemburu, kebapaan, keibuan, persaudaraan perlulah berpada-pada. Adapun berlebih-lebihan secara khusus kepada persoalan cinta antara lelaki dan perempuan di dalam hampir kesemua lirik-lirik lagu pastilah tidak wajar sama sekali. Cinta bukan sekadar difokuskan kepada wanita, kerana cinta itu amat luas ruang lingkupnya. Cinta kepada Allah S.W.T.,rasulNya dan ibubapa perlulah diberikan keutamaan di dalam lagu.







5. HUKUM BERGANTUNG KEPADA PENDENGAR.

Setiap pendengar sebenarnya merupakan orang yang paling mahir dan layak menentukan hukum sebenar lagu dan muzik untuk dirinya. Sekiranya terdapat unsur nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, mendorong ke arah kejahatan, melalaikan serta leka untuk menunaikan ibadah, maka menjadi kewajipan ke atas pendengar itu untuk menjauhinya serta menutup menutup pintu fitnah tersebut demi memelihara diri dan agamanya.