Friday, August 3, 2007

SINGAPURA 27 Julai – Warga Islam Singapura kini termasuk di bawah Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota) republik ini yang menjadikan mereka penderma organ secara automatik kecuali mereka memilih tidak mahu berbuat demikian.
Selepas menolak Hota sejak pengwujudannya pada 1987, jawatankuasa fatwa republik ini mengumumkan minggu ini bahawa warga Islam kini boleh tertakluk di bawah akta itu.
Sebelum ini hanya rakyat bukan Islam yang diliputi Hota, dan umat Islam yang mahu menderma organ mereka, perlu memilih untuk dimasukkan di bawah Hota.
Jawatankuasa fatwa itu yang diketuai Mufti Singapura, Syed Isa Semait mengumumkan keputusan itu selepas mempertimbangkannya selama dua tahun, mengambil kira bahawa Islam tidak melarang pendermaan atau pemindahan organ, bagaimanapun persetujuan perlu dinyatakan secara jelas.
Masalahnya ialah cara persetujuan itu diperoleh di bawah akta berkenaan.
“Kami membincangkan masalah anggapan setuju itu pada 2004 dan menegaskan bahawa dalam undang-undang Islam, niat itu perlu jelas,” katanya dalam satu laporan yang disiarkan The Straits Times hari ini.
Selepas mengambil masa yang lama membincangkannya, jawatankuasa itu akhirnya bersetuju bahawa di bawah akta berkenaan, warga Islam mempunyai peluang yang cukup untuk memilih dikecualikan dan oleh itu proses mendapatkan satu persetujuan di bawah akta itu adalah selaras dengan undang-undang Islam.
Hota, di mana rakyat Singapura dianggap telah memberikan persetujuan bahawa organ mereka diambil ketika mati kecuali mereka memilih untuk tidak berbuat demikian – tidak meliputi umat Islam se- takat ini.
Bagaimanapun bilangan warga Islam yang telah berjanji untuk menderma organ mereka adalah terlalu sedikit, menurut laporan itu.Sehingga kini hanya 16,000 daripada 300,000 orang dewasa yang layak telah memilih untuk disenaraikan dan bilangan mereka yang berikrar berbuat demikian semakin berkurangan.